comscore
Tumpuan :
Nasional

KPWKM lancar portal eWarga Emas

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Noraini Ahmad.- Foto fail NSTP

PUTRAJAYA: Portal sistem warga emas (eWarga Emas) yang dilancarkan hari ini dibangunkan bagi membentuk sistem penyampaian perkhidmatan warga emas yang berkesan dan bersepadu, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Noraini Ahmad.

Noraini berkata portal itu akan memberi impak positif kepada kerajaan kerana ia dapat membantu meningkatkan produktiviti dan kecekapan agensi yang terlibat dalam merancang, menganalisis, mengurus dan memantau warga emas, kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Sistem eWarga Emas diperkenalkan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan warga emas.

“Ia membantu dalam pengurusan data, perancangan dasar dan menyokong warga emas mendapatkan maklumat seperti peluang pekerjaan serta kemudahan berkaitan,” katanya berucap pada majlis sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2024 bertemakan ‘Penuaan Bermaruah: Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan Warga Emas’ di sini hari ini.

Beliau berkata portal eWarga Emas merupakan satu daripada lapan inisiatif yang dilaksanakan KPWKM selaku peneraju dalam bidang perkhidmatan kepada warga emas.

Beliau berkata inisiatif lain termasuk melaksanakan program Pemerkasaan Warga Emas PAWE@3A, memperkasakan institusi warga emas, mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas dan menyediakan Pelan Tindakan Industri Penjagaan.

Noraini berkata kesemua inisiatif itu dilaksanakan mengambil kira unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang merekodkan terdapat 3.9 juta warga emas di negara ini dan Malaysia akan menjadi negara tua dengan 15.3 peratus penduduk berusia 60 tahun dan ke atas menjelang 2030.

Sementara itu, penerima Anugerah Khas Warga Emas kategori lelaki, Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan yang amat dihargai setelah lebih 50 tahun menyumbang jasa dalam pelbagai bidang antaranya memperjuangkan hak pekerja, menentang amalan rasuah dan pencegahan jenayah.

Anak kelahiran Ipoh, Perak berusia 78 tahun yang merupakan bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang selama lebih 20 tahun itu berkata anugerah itu merupakan pengiktirafan terbaik bagi menghargai jasa golongan warga emas di negara ini.

“Walaupun jasa bakti dicurahkan sewaktu muda, saya rasa mereka banyak menyumbang kepada negara dan bagi warga emas yang masih sihat dari segi kesihatan mereka boleh terus memberikan sumbangan,” kata bekas Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara itu.

Mengulas mengenai RUU Warga Emas, aktivis sosial itu berpendapat sudah tiba masanya negara mempunyai satu undang-undang khusus untuk warga emas demi menjaga kesejahteraan, perlindungan kebajikan, hak asasi serta pemerkasaan golongan tersebut.

Pada 24 Jun lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata KPWKM masih dalam proses menyiapkan RUU berkenaan.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini