Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengakui bilangan perkadaran nisbah Orang Kurang Upaya (OKU) autisme berdaftar berbanding bilangan pusat autisme di seluruh negara tidak mencukupi.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beberapa inisiatif telah dilaksanakan bagi merapatkan jurang penawaran dan permintaan terhadap perkhidmatan dan sokongan terhadap golongan autisme.
“Sehingga 31 Oktober 2024, terdapat sebanyak 33 buah Pusat Jagaan Autisme yang telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Manakala bagi pendaftaran Orang Kurang Upaya Masalah Pembelajaran bagi kategori Austime bagi tempoh yang sama pula adalah seramai 65,191 orang.
“KPWKM mengambil maklum bahawa perkadaran nisbah di antara bilangan OKU autisme berdaftar berbanding bilangan pusat autisme di seluruh negara di bawah kendalian JKM atau agensi Kerajaan yang lain tidak mencukupi.
“Justeru, Kerajaan sentiasa cuba melaksanakan inisiatif yang dapat memberi sokongan perkhidmatan ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Alias Razak di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, KPWKM telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi merapatkan jurang penawaran dan permintaan terhadap perkhidmatan serta sokongan autisme.
Ia termasuk menjalinkan kerjasama dengan komuniti serta badan-badan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (PSK).
Selain itu, inisiatif yang telah dilaksanakan adalah Program Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), Perkhidmatan TASKA OKU dan menjalinkan kerjasama strategik dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan
(NGO).
Tambahnya, KPWKM juga sedang memperincikan perancangan untuk membangunkan Pusat Perkhidmatan Autisme dan menyediakan Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme dalam tempoh terdekat.
Dalam Pembentangan Belanjawan 2025 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk membangunkan Pusat Perkhidmatan Autisme dan RM15 juta bagi Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme.
Justeru, katanya, usaha dan sokongan bagi perkhidmatan program intervensi dan rehabilitasi untuk autisme adalah bersifat rentas kementerian dan memerlukan pelbagai kepakaran serta sokongan.
Pendekatan itu jelasnya, perlu bagi memastikan sokongan yang diberikan adalah bersifat holistik dan menyokong ke arah perkembangan, kesamarataan hak dan peluang serta penyertaan aktif komuniti autisme.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.