comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KPT timbang laluan khas untuk pelajar aliran agama ke Politeknik & TVET

 

Oleh: Juliana Sharin & Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi, sedang menimbang membuka satu laluan khas ke politeknik dan program TVET kepada pelajar aliran agama, huffaz dan lepasan maahad tahfiz.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha itu selari dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dan prinsip serta aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat nilai unggul dalam diri untuk disatukan dengan kemahiran terbaik.

“Ini bermakna, jika sekarang ini, Program Techno Huffaz hanya dilaksanakan secara khusus dan terhad kepada 4 program di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS). Maka, selepas ini, pelajar tahfiz, aliran agama dan lepasan maahad akan mempunyai peluang serta laluan yang lebih besar dan pelbagai untuk mengikuti pengajian TVET di semua politeknik di bawah KPT,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

KPT ujar beliau turut menyediakan laluan khas kemasukan kepada golongan rentan.

Ia termasuklah laluan khas kepada golongan B40, OKU dan Orang Asli.

Menurut beliau lagi, kemasukan ke politeknik bagi Sesi 1: 2023/2024 adalah seramai 20,520 orang, iaitu peningkatan lebih 20 peratus berbanding sesi sama pada tahun 2022/2023 iaitu seramai 16,962.

Manakala bagi semua program TVET yang diuruskan oleh KPT sebanyak 79.6 peratus daripada tempat yang tersedia telah diisi dengan jumlah enrolmen semasa mencecah kira-kira 144,816 pelajar secara keseluruhannya.

Tambahnya lagi, pihaknya kini sedang dalam proses untuk menambah beberapa lagi penawaran program yang diselarikan dengan New Industrial Masterplan (NIMP) 2030 yang merangkumi bidang-bidang terkini dan termaju.

Misalnya kemahiran dan pengendalian peralatan perubatan serta teknologi dalam disiplin kejuruteraan, elektrik dan mekanikal pembuatan.

Loading...
Terkini