comscore
Tumpuan :
Nasional

KPT tidak terima arahan tutup UNITEN – Zambry Kadir

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan belum menerima sebarang arahan berkenaan cadangan penutupan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Muadzam Shah, Rompin, Pahang.

 

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd. kadir berkata, pihaknya telah membuat semakan berkenaan perkara tersebut dan belum menerima maklum balas berkenaan penutupan tersebut.

“Tidak ada, tidak ada berita itu disampaikan kepada saya walaupun ada mendengar mengenai perkara itu”

“Pegawai kanan saya telah buat semakan, dan setakat ini saya masih belum menerima sebarang keputusan berkenaan penutupan Uniten seperti yang diperkatakan,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Universiti Malaya (UM).

Datuk Seri Zambry turut menjelaskan, beliau turut memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas perkara itu dibangkitkan.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Zambry turut meminta Ketua Pengarah Pengajian Tinggi (KPPT), Prof Dr Azlinda Azman memeriksa kesahihan perkara ini dan beliau mengesahkan tidak menerima sebarang makluman rasmi dari pihak Uniten berhubung penutupan kampus itu.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan negeri Pahang tidak bersetuju terhadap cadangan penutupan kampus itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dua hari lalu.

”Penutupan pengoperasian Uniten tersebut akan memberi implikasi yang tidak baik kepada rakyat terutama berkaitan kelangsungan pengajian anak-anak muda dan peluang perniagaan serta pembangunan ekonomi penduduk setempat,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, keputusan penutupan United bakal memberi kesan tidak baik kepada rakyat berkaitan pengajian anak-anak muda.

“Muadzam Shah sinonim dengan gelaran hab pendidikan Pahang kerana terdapatnya Uniten, Politeknik, Kolej Vokasional, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan beberapa sekolah harian di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Ia juga menggalakkan perkembangan ekonomi kepada penduduk setempat khususnya buat penduduk di DUN (Dewan Undangan Negeri) Muadzam Shah secara khususnya dan Parlimen Rompin secara amnya,” ujarnya.

Loading...
Terkini