SANDAKAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti untuk meningkatkan jumlah kursus berkaitan pelancongan, minyak dan gas serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Sabah.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, bidang berkenaan semakin berkembang di negeri berkenaan, yang membolehkan kursus berkaitan ditawarkan.
“Tawaran itu (kursus pelancongan, minyak dan gas serta TVET) dibuat oleh universiti atau politeknik sendiri dan kena melihat keperluan setempat.
“Tetapi kita (kementerian) melihat daripada segi pelancongan Sabah yang semakin naik dan kita ada kajian baharu supaya boleh menawarkan kursus berkaitan pelancongan, minyak dan gas serta TVET di Sabah ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Politeknik Sandakan dan Kolej Komuniti Sandakan (KKS) hari ini.
Datuk Mustapha turut menyarankan supaya Politeknik Sandakan dan KKS mendedahkan modul pendidikan institut itu kepada pelajar sekolah bagi menarik minat mereka untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta TVET.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.