Tumpuan :
Nasional

KPT syor teliti ekosistem UPNM dibangunkan mirip Akademi Ketenteraan Westpoint AS

Akademi Ketenteraan Amerika Syarikat di West Point, New York, AS – FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mencadangkan ekosistem pendidikan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diteliti semula.

Ia susulan kes buli serius yang berlaku membabitkan penuntut UPNM yang juga pelatih Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, mengakui keunikan UPNM yang mana terdapat penuntut bukan saja dalam kalangan orang awam menyambung pengajian di universiti berkenaan, tetapi juga pelatih tentera.

Beliau berkata UPNM mempunyai sekitar 17 peratus penuntut dalam kalangan pelatih ALK.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Justeru, beliau mengesyorkan antara langkah yang boleh diambil adalah membangunkan UPNM mirip kepada Akademi Ketenteraan Westpoint seperti di Amerika Syarikat (AS).

Di negara itu, katanya anggota tentera boleh melanjutkan pengajian mereka sama seperti di institut pengajian tinggi (IPT), namun ia di bawah pengurusan dan pentadbiran oleh tentera sendiri.

“Lantaran itu saya juga telah mengesyorkan dilihat semula ke dalam semua perkara termasuk ekosistem pendidikan itu sendiri. Apakah pendekatan yang sebaik-baiknya kita boleh mengelakkan daripada perkara ini (buli).

“Kita mungkin tidak tahu mungkin ada (kes buli) yang berlaku sebelum ini tidak dilaporkan. Saya beritahu kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya kena cari pendekatan terbaik untuk harmoni perkara ini.

“Atau boleh (perkenalkan) sistem siapa nak masuk (sambung pengajian) seperti di Akademi Tentera Westpoint (AS). Mereka (pelatih tentera) boleh tumpu akademik dalam itu. Kena tengok balik sistem pendidikan itu sendiri. Boleh buat akademi yang betul-betul di bawah tentera,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ditanya adakah Akta Angkatan Tentera 1972 yang turut tertakluk pelatih ALK menyekat intervensi awal kes buli di UPNM, Zambry mengakui sedar akan isu berbangkit dan ada membawa perkara itu kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan dan kerjasama untuk ‘harmonikan’ isu berbangkit.

“Saya fikir adalah tidak wajar saya bertindak dengan mengatakan ini bukan masalah kita. Saya tidak mahu bersikap sebegitu.

“Meskipun ini berlaku dalam kawalan ALK, saya tidak boleh ambil pendekatan yang lepas tangan. Sabab mereka juga adalah sebahagian daripada pelajar walaupun sistemnya (di UPNM) agak berlainan,” katanya.

Susulan isu buli yang berlaku, Zambry berkata, beliau sudah memanggil semua Naib Canselor beberapa hari lalu, untuk memastikan perbuatan sedemikian dipantau dengan rapat.

Beliau turut memberi peringatan jika kes buli berlaku, tindakan segera perlu diambil terhadap pelaku.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini