comscore
Tumpuan :
Nasional

KPT sedia realisasikan program pengajian aeroangkasa di Sarawak

Oleh Kadir Edison

KUCHING: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyatakan kesediaan membantu dan merealisasikan inisiatif kerajaan Sarawak dalam menerapkan pengajian aeroangkasa di institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak yang terpilih.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, kementerian menyokong penuh aspirasi Sarawak dalam menerokai bidang itu sekali gus melahirkan bakat dan pakar dalam bidang ruang angkasa.

Rancangan itu juga katanya, selari dengan usaha Kerajaan Persekutuan yang mahu melahirkan graduan universiti berkemahiran selari dengan pemintaan industrri.

“Saya juga telah maklumkan di peringkat universiti kita bersedia memberikan kerjasama itu (pengajian aeroangkasa) kepada Sarawak.

“Saya difahamkan team daripada IPTA kita pun ada bersama untuk memastikan supaya rancangan yang dibuat oleh kerajaan Sarawak itu dapat dilaksanakan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Persidangan Antarabangsa Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) di Pusat Konvensyen Borneo di sini.

Selasa lalu, Tan Sri Abang Johari  melancarkan Akademi Aeroangkasa di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEX) yang antara lain menyediakan latihan serta sijil kemahiran bagi bidang pengajian tersebut.

Program di peringkat Ijazah Sarjana Muda bidang itu turut diperkenalkan di Kolej Universiti I-Cats milik kerajaan Sarawak.

Seramai 200 pelajar diterima bagi kemasukan kumpulan pertama program itu menerusi Fakulti Aeroangkasa bermula bulan ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini