Tumpuan :
Nasional

KPT perkenalkan pendekatan baharu atasi tahap guna tenaga tidak penuh

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.- Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkenalkan pendekatan baharu bagi mengatasi isu tahap guna tenaga tidak penuh serta kebolehpasaran graduan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pendekatan itu akan dilaksanakan secara kerjasama merentasi pelbagai kementerian, terutama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Ekonomi.

Beliau berkata, pendekatan baharu itu bertujuan mewujudkan perangkaan khusus berpandukan keperluan pasaran kerjaya, termasuk prospek bagi lima tahun akan datang. Ini kerana, katanya, institusi pengajian tinggi di negara ini tidak memiliki kemampuan untuk mengenal pasti keperluan pasaran kerjaya, terutama membabitkan bidang khusus dengan keadaan itu perlu diatasi secara kolektif bersama kementerian berkaitan.

“Kebolehpasaran graduan akan terus menjadi isu yang diperbahaskan kerana ia berkait dengan perubahan dalam bidang pekerjaan yang ada di negara ini.

“Ini adalah masalah yang berlaku dan bagaimana untuk kita mensegmenkan atau membahagikan mengikut keperluan pasaran (kerjaya).

“Sekarang kita bercakap mengenai sektor E&E (elektrik dan elektronik) yang sangat diperlukan dalam industri kita sendiri dan ia sedang berkembang pesat.

“Saya pergi ke USM (Universiti Sains Malaysia) untuk berbincang dan mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan bagi meneliti keperluan diperlukan kerana keperluan ini sangat penting,’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Program Bicara dan Makan Tengah Hari bersama Editor di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman.

Antara editor media yang hadir adalah Timbalan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Sharanjit Singh Tara Singh, Pengarang Berita (Rencana) Harian Metro Hartini Mohd Nawi dan Pengarang Kumpulan Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Kamaruddin Mape.

Terdahulu, Bank Dunia mendapati Malaysia berdepan jurang besar antara jumlah graduan berpendidikan tinggi dengan peluang pekerjaan yang tersedia setanding kelayakan apabila satu kekosongan jawatan berkemahiran tinggi kini direbut enam graduan.

Sementara itu, Zambry turut mengambil peluang menguar-uarkan Festival Idea Putrajaya anjuran KPT yang adakan diadakan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini bermula 27 hingga 29 November ini.

“Kita nak anjurkan satu program besar yang dipanggil Festival of Ideas. Ini adalah satu program yang pertama kali dianjurkan dalam negara kita.

“Pengalaman saya apabila masuk ke KPT ini adalah saya dapati dalam konteks bahawa kita terlalu banyak penyelidikan dibuat hanya tersimpan di universiti-universiti yang sebahagiannya boleh dijadikan sebagai idea-idea besar untuk pembangunan negara kita.

“Begitu juga dapatan terkini dalam penemuan yang dibuat.

“Tetapi malangnya dalam konteks kita ini kita tak berjaya untuk mengetengahkan idea itu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Festival Idea Putrajaya satu inisiatif penting dalam usaha merakyatkan idea dan pendidikan tinggi secara besar-besaran serta mempromosi Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di peringkat serantau dan global melalui pendekatan kerajaan secara keseluruhan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini