Tumpuan :
Nasional

KPT Pantau Portal RSS, Pastikan Lebih Banyak Premis Sewa Tersenarai

FOTO: NSTP

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan terus memantau pentadbiran Portal Rumah Sewa Siswa (RSS) bagi memastikan lebih banyak premis untuk penyewaan tersenarai dalam kadar mampu milik.

KPT memaklumkan, ia bagi memenuhi keperluan pelajar menginap di luar kampus terutama bagi persediaan kemasukan Semester Akademik 1, Tahun 2022/2023.

“KPT juga ingin menyarankan agar pihak Universiti Awam (UA) menerusi Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus (UPLK) terus menyantuni pelajar yang berkeperluan mendapatkan penginapan di luar kampus agar sebarang
cabaran yang dihadapi mereka dapat sentiasa dibantu dan dipermudahkan.

“Pelajar juga dinasihatkan sentiasa berhubung dengan pihak UPLK di UA masing-masing bagi mendapatkan khidmat nasihat dalam pencarian rumah, hal ehwal kontrak sewaan dan perundingan yang berkaitan,” menurut KPT dalam kenyataan hari ini.

KPT dengan kerjasama Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia (MAPUM) turut meneliti ketersediaan kapasiti penginapan pelajar di dalam dan luar kampus bagi mengoptimumkan keperluan pelajar yang semakin meningkat.

Mengulas lanjut, KPT memaklumkan, inisiatif Rumah Siswa yang dilancarkan tahun lalu turut merangkumi elemen penubuhan UPLK di semua UA dan pembangunan Portal RSS.

Portal RSS yang boleh diakses melalui pautan rumahsiswa.mohe.gov.my berperanan menyediakan platform bagi memudahcarakan usaha pelajar mencari dan mendapatkan kediaman rumah atau bilik sewa di sekitar kampus.

Sehingga Isnin lalu, lebih 29,000 pelajar dari seluruh negara telah berdaftar bagi pencarian rumah sewa menerusi Portal RSS.

“Penyenaraian premis di dalam portal ini dilaksanakan oleh pegawai UA sendiri yang bertanggungjawab meneliti dan memastikan kediaman yang dikenal pasti adalah kondusif bagi penginapan pelajar dari aspek kadar sewaan, fasiliti yang disediakan dan keselamatan lokaliti premis.

“KPT terus komited agar pelajar luar kampus sentiasa mendapat kediaman yang selamat, mampu milik dan kondusif menerusi capaian yang mudah dan pantas selari dengan aspirasi menjamin kesejahteraaan pelajar di institusi pendidikan tinggi,” menurut kenyataan itu.

Loading...
Terkini