
GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui pejabat Education Malaysia Jordan (EMJ) memantau rapat keadaan empat pelajar Malaysia yang cedera dalam kemalangan jalan raya di negara itu, Jumaat lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, beliau dimaklumkan tiga daripada mereka berada dalam keadaan stabil, manakala seorang lagi masih memerlukan perhatian rapi pihak hospital.
“Mereka (EMJ) akan memaklumkan kepada kita dari semasa-semasa dan saya akan maklumkan nanti perkembangan keadaan mereka (pelajar),” katanya ketika ditemui pada Program Kembara Ramadan KPT 2025 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Zambry turut mendoakan kesemua mangsa yang merupakan penuntut tahun satu pengajian Fiqh Wa Usul di Universiti Mu’tah dalam keadaan selamat dan kembali sihat seperti sedia kala.
Sebelum ini, media melaporkan empat pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan, cedera selepas terbabit dalam nahas jalan raya di negara berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.