![](https://media.buletintv3.my/2025/02/BULETIN-TV3-N-2025-02-15T173754.754.jpg)
LUMUT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyeru semua pihak memberikan ruang supaya siasatan menyeluruh dilaksanakan terhadap insiden doktor pakar sambilan di Hospital Pakar Kanak-Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) yang dikatakan dipecat atas dakwaan melakukan gangguan seksual.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya maklum mengenai tuntutan tular disuarakan menerusi laman sosial X, menggesa KPT serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan terhadap ketua jabatan yang menyelia pakar perubatan berkenaan dengan mendakwa tindakan itu sebagai bentuk penganiayaan.
Zambry berkata, siasatan yang dikendalikan tidak hanya menjurus kepada ketua jabatan yang menyelia doktor pakar itu saja, sebaliknya menjurus ke atas individu iaitu doktor pakar yang didakwa melakukan gangguan seksual.
“Untuk peringkat ini kita minta supaya siasatan dibuat bukan semata-mata membabitkan ketua jabatan yang berkenaan tetapi juga ke atas individu (doktor pakar) yang dituduh itu.
“Saya sudah minta laporan, yang mana ini lanjutan daripada kononnya pihak ketua jabatan memecat seorang doktor pakar di hospital.
“Saya ingin memberi nasihat supaya apabila membuat sesuatu hantaran, pastikan maklumat itu benar-benar tepat. Kalau tidak nanti ia akan menimbulkan lebih banyak masalah termasuk soal menjaga maruah dan aib seseorang,” katanya kepada media selepas menyempurnakan perasmian program Projek Program Pemindahan Ilmu (KTP) Program Keusahawanan Kelulut Masyarakat Madani Pangkor, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kampung Tengah, Pulau Pangkor, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod; Naib Canselor UMT, Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman.
Zambry berkata demikian sebagai mengulas hantaran di laman X yang dipercayai seorang pengamal perubatan, mendakwa sudah sampai masanya KPT bertindak menyingkirkan Pengarah HPKK UKM.
Dakwa pemilik akaun itu, doktor pakar yang terpalit gangguan seksual adalah pakar bedah saraf terbaik dengan menganggap tindakan ke atas dia bertentangan dengan hak kemanusiaan kanak-kanak di Malaysia yang menghidap ‘spina bifida’ untuk memperoleh rawatan.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, pada waktu ini tindakan yang diambil ke atas pakar terbabit bukanlah pemecatan atau dibuang terus daripada berkhidmat di HPKK UKM, sebaliknya berbentuk penggantungan sementara khidmat.
“Saya difahamkan apa yang dilakukan oleh ketua jabatan ialah menangguh atau penggantungan sementara (tugas) doktor pakar berkenaan. Jadi bukan terus dibuang, dan ini pun kita akan bergantung kepada hasil siasatan sepenuhnya.
“Ini hal yang sangat serius bagi saya dan saya harap ia dapat diperjelaskan kemudiannya apabila siasatan siap dilakukan. Apa pun, kita bergantung kepada siasatan sepenuhnya yang akhirnya akan disampaikan kepada kita nanti,” katanya.
Mengenai Program Keusahawanan Kelulut Masyarakat Madani Pangkor, Zambry berkata, KPT amat menekankan agar segala kepakaran dan fasiliti yang ada di universiti diperkasakan sebaik mungkin selari dengan fokus utama KPT iaitu pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.