Tumpuan :
Nasional

KPT-KDN bincang beri pendidikan tinggi kepada pelarian, tiada kewarganegaraan

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2023 KPT di Putrajaya. – FOTO: NSTP

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam mencari jalan untuk memberi ruang dan peluang kepada golongan tiada kewarganegaraan serta pelarian memperoleh pendidikan tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpendapat status warganegara atau status pelarian tidak boleh menafikan hak mereka mendapat pendidikan yang bermutu.

“Membuka peluang untuk mereka yang dilabel ‘stateless’ (tiada kewarganegaraan) atau ‘refugees’ (pelarian) mendapat pendidikan tinggi adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk dilakukan. Apatah lagi ramai daripada mereka ini berkemampuan untuk membiayai pendidikan sendiri. Bukan semua adalah miskin dan mahukan kita membayar pengajian mereka.

“Ramai yang dibantu secara kewangan oleh keluarga mereka di negara maju atau oleh agensi-agensi antarabangsa seperti Qatar Fund for Development dan Kuwait Fund for Development.

Kita adalah sebuah negara Islam. Negara membangun paling progresif. Malah kita menyertai pelbagai konvensyen antarabangsa terkait keselamatan insan dan hak asasi. Masakan kita menutup ruang untuk mereka menuntut ilmu dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya ketika menyampaikan perutusan tahun baharu bertemakan ‘Pendidikan Tinggi: Harapan dan Masa Depan’ di sini hari ini.

Beliau berkata, kementerian mesti memikul tanggungjawab moral tersebut dengan dasar yang jelas jika benar-benar menjiwai semangat Malaysia yang madani.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled mahu gerakan pelajar dan ‘student union’ mesti diberikan kebebasan serta kuasa yang bersesuaian.

Katanya, pemerkasaan mahasiswa mesti dilihat dalam konteks yang lebih besar dengan memberi lebih banyak tanggungjawab dan ruang membuat keputusan.

“Berikan mahasiswa kita kepercayaan dan mandat untuk membuka perniagaan, menguruskan kewangan persatuan dan merencana sendiri cara mereka bekerja dan memperjuangkan agenda mahasiswa. Perniagaan dalam universiti umpamanya, wajar diurus oleh ‘Student Union’.

“Perkhidmatan dobi, kedai buku, farmasi, baik pulih komputer, sewa menyewa bas, ‘university merchandise’, kafe dan pelbagai lagi perniagaan kecil seharusnya diserahkan kepada ‘Student Union’. Perkara ini secara tidak langsung boleh membuka pelbagai ruang pekerjaan sambilan kepada pelajar. Jadikan pulangan dari semua ini, sumber pembiayaan kepada aktiviti kemahasiswaan.

Beliau berkata, terdapat ‘Student Union’ di United Kingdom menjana pendapatan puluhan juta Pound setahun yang dirancang dan diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa.

Katanya, universiti seharusnya menjual kepakaran besar melalui pelbagai projek rundingan dan bukan menjalankan perniagaan kecil dalam universiti seperti perkhidmatan dobi dan kafeteria.

Semua itu ujarnya, layak diserahkan kepada mahasiswa sepenuhnya.

“Kita mesti membantu kedewasaan mahasiswa dengan memberikan mereka lebih banyak kuasa, kebebasan dan tanggungjawab. Sepanjang proses tersebut, mereka pasti akan melakukan kesilapan, tersungkur, tertekan.

“Biar mereka mengerti semua itu. Kerana semua itu akan membentuk perspektif dalam kehidupan mereka. Akhirnya kita ingin memanusiakan manusia. Manusia yang punya pengalaman manis dan pahit, menikmati kejayaan dan menginsafi kegagalan,” katanya.

Loading...
Terkini