comscore
Tumpuan :
Nasional

KPT akan perkenal sistem pembelajaran hibrid, anjal 

KUALA LUMPUR: Sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal, yang mewajibkan pelajar hanya menghadiri kuliah di kampus pada tahun pertama dan tahun akhir sahaja akan diperkenalkan, menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Manakala untuk tahun di pertengahannya pula, mereka akan diberi pilihan dan keanjalan untuk mengikuti pengajian dari rumah tanpa perlu hadir secara fizikal di kelas.

Beliau berkata, setakat ini  95 program pengajian Ijazah Sarjana Muda di 19 daripada keseluruhan 20 universiti awam (UA) di seluruh negara bersedia melaksanakan pembelajaran anjal bermula dengan kemasukan Sesi Akademik 2023/2024

“Melalui inisiatif ini bermakna pelajar universiti boleh menghadiri kuliah secara dalam talian sahaja, sekali gus mereka dapat menyusun aktiviti dengan lebih fleksibel.

“Ia akan memberi beberapa kelebihan seperti dapat mengurangkan jumlah pinjaman dan kos pendidikan, membuka ruang untuk bekerja sambilan atau melakukan perkara yang memerlukan mereka tidak berada di kampus,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat gerai pameran di Majlis Perasmian Penutupan Program Jom Masuk U 2023 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Jom Masuk U 2023 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Khaled berkata, KPT juga akan memendekkan tempoh pengajian sesetengah program Ijazah Sarjana Muda daripada empat tahun kepada hanya tiga tahun.

“Oleh itu, kita mahu program dan jurusan tersebut disusun dengan cara terbaik dan menguntungkan semua pihak. Atas dasar berkenaan, sebanyak 44 program pengajian Ijazah Sarjana Muda daripada sembilan IPT sudah dikenal pasti untuk dipendekkan tempoh pengajiannya.

Selain menjimatkan kos pengajian, ia membuka peluang untuk graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal.

Loading...
Terkini