comscore
Tumpuan :
Nasional

KPPA yakin semua penjawat awam tandatangan SSPA

Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dtemui media selepas mengetuai Majlis Menandatangani Opsyen Baharu SSPA, di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Lebih 1.4 juta awam dijangka menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bermula hari ini sehingga 30 November depan, bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz optimis kesemua warga perkhidmatan awam akan berbuat demikian bagi menikmati pelarasan gaji baharu, pemantapan saraan dan penambahbaikan laluan kerjaya.

“Selain daripada pelarasan gaji, ianya (SSPA) juga menekankan kepada pembangunan modal insan sendiri dan juga laluan kerjaya yang lebih baik di masa hadapan.

FOTO: NSTP

“Sebagai KPPA, saya tidak teragak-agak untuk menandatangani opsyen ini kerana memang ianya memberi sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Majlis Menandatangani Opsyen Baharu SSPA, di sini hari ini.

FOTO: NSTP

Dalam majlis itu, seramai 75 warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang terdiri daripada ahli-ahli mesyuarat pengurusan tertinggi dan pegawai pelbagai kumpulan perkhidmatan menandatangani tawaran tersebut.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan mengingatkan penjawat awam untuk mempertingkatkan lagi tahap sistem penyampaian kepada rakyat dengan penambahbaikan sistem saraan itu.

Menerusi SSPA, beliau yakin sistem penyampaian negara akan melihat lonjakan baharu dalam perkhidmatan awam.

“Saya juga menyeru kepada semua penjawat awam supaya dapat memilih SSPA, yang mana ianya akan memberikan pulangan dari segi gaji dan juga laluan yang lebih baik daripada apa yang telah ada selama ini.

FOTO: NSTP

“Begitu juga dengan pembangunan kerjaya pegawai dititikberatkan untuk memastikan penjawat awam berada dalam tahap kompetensi yang baik serta dapat melaksanakan tugas dengan lebih berjaya lagi di masa hadapan,” katanya.

Pada masa sama, Wan Ahmad Dahlan memberi jaminan tiada mana-mana penjawat awam akan menerima ‘layanan dua darjat’ sekiranya mereka enggan menandatangani SSPA.

Menurutnya, mereka yang berhasrat kekal dengan SSM akan tetapi dilayan seperti penjawat awam lain.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini