Tumpuan :
Nasional

KPN sahkan suspek turunkan Jalur Gemilang di Australia masih di luar negara

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – Foto fail

KUALA LUMPUR: Suspek utama kejadian menurunkan Jalur Gemilang sebelum diganti dengan bendera Sabah dan Sarawak di Melbourne, Australia sempena Hari Malaysia pada 16 September lalu, disyaki masih berada di luar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata suspek dikenali sebagai Moses Paul Anap dan berusia 36 tahun.

“Polis sedang menyiasat hubungannya (Moses) dengan lelaki yang menyebarkan video berkenaan melalui media sosial di Sabah.

“Berdasarkan semakan dan siasatan, polis mendapati suspek (Moses) direkodkan keluar dari negara inrazarudini pada 26 Oktober 2016. Sehingga kini tiada rekod masuk menyatakan secara rasmi dia kembali ke tanah air,” katanya.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilapor membuka kertas siasatan bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penularan video memaparkan Jalur Gemilang diturunkan sebelum diganti dengan bendera Sabah dan Sarawak.

Razarudin dilapor berkata siasatan awal mendapati insiden itu kononnya sebagai simbolik penamatan ‘penjajahan’ Malaysia ke atas kedua-dua negeri berkenaan serta menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai republik.

Polis turut menerima 35 laporan berkait penyebaran video itu, dengan 34 daripadanya di Sabah dan satu lagi di Kuala Lumpur.

Polis turut memaklumkan rakaman video kejadian itu berkenaan ditularkan pemilik akaun di Malaysia beralamat di Sabah yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Kota Kinabalu, tetapi dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 sementara menunggu sebutan semula kes pada November depan.

Razarudin turut memaklumkan, pemilik akaun media sosial terbabit memiliki dua rekod jenayah membabitkan Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, pihaknya turut menyiasat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar di Australia yang menggunakan nama ‘Republic of Sabah North Borneo’.

“Ketika ini PDRM sedang mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini