KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengadakan pertemuan dua hala bersama kepimpinan tertinggi bandar Shanghai, China bagi membincangkan kerjasama keselamatan antara kedua-dua pihak.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu hantaran di Facebook berkata, pertemuan itu bersempena lawatan kerja rasmi beliau ke China bermula hari ini hingga 26 November.
“Pertemuan diadakan dengan Timbalan Datuk Bandar merangkap Pengarah Biro Keselamatan Awam (Ketua Polis Bandar) Shanghai, H.E Deputy General Commisioner Zhang Ya Hong.
“Pertemuan ini bersempena lawatan kerja rasmi Tan Sri Razarudin ke Republik Rakyat China yang bermula hari ini sehingga Selasa depan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Hadir sama dalam pertemuan itu, Timbalan Pengarah Pengurusan (Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari, Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Antarabangsa), Senior Asisten Komisioner Datuk Suparamaniam Ramasamy dan Superintendan Perhubungan Antarabangsa Bukit Aman Superintendan Loh Pei Pei.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pusat Pemerintahan Shanghai, Liu Guoqing dan Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ekonomi Shanghai, Hu Binyong.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.