KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan di sempadan negara akan terus diberi perhatian khusus bagi memastikan Malaysia bebas daripada pelbagai ancaman, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata peruntukan sebanyak RM560 juta yang diberikan kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) menerusi Belanjawan 2025 akan digunakan sebaik mungkin bagi memperkukuh kawalan di sempadan perairan dan darat negara.
Razarudin berkata ia termasuk bagi mengekang aktiviti penyeludupan dadah, senjata api, barangan kontraban, haiwan eksotik dan manusia.
“Selain itu inisiatif berkenaan juga adalah untuk mengekang kumpulan pengganas daripada menyelinap masuk ke kawasan pedalaman Sabah, yang saya pasti akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JKDNKA dan Pengarah Jabatan Pengurusan, di sini hari ini.
Pada majlis itu Datuk Seri Azmi Abu Kassim dilantik sebagai Pengarah JKDNKA Bukit Aman yang baharu menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA).
Datuk Abdul Aziz Abdul Majid pula dilantik menggantikan Azmi sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman yang baharu.
Razarudin berkata tugas dan tanggungjawab Azmi menerajui JKDNKA bukanlah mudah, namun berdasarkan kredibiliti yang disokong dengan keupayaan aset dan lebih 25,600 anggota meliputi elemen darat, perairan dan udara, beliau percaya amanah itu boleh dilaksanakan sebaiknya.
Beliau juga percaya Abdul Aziz yang menerajui Jabatan Pengurusan akan meneruskan agenda sedia ada dan melakukan penambahbaikan yang perlu untuk dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Razarudin dalam pada itu mengucapkan syabas kepada seluruh warga JKDNKA atas kejayaan dalam pelbagai operasi dan rampasan dengan nilai keseluruhan melebihi RM926 juta sepanjang tahun ini.
“Ini satu pencapaian yang sangat membanggakan dan menjadikan PDRM lebih disegani,” katanya. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.