KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tidak akan berpatah balik dalam keputusan berkaitan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dibuat masing-masing pada 2021 serta 2022.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ini kerana peperiksaan itu disifatkan tidak lagi relevan khususnya dalam menerajui Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Saya ambil peluang ini untuk menegaskan bahawa ketika ini kita tidak akan berpatah balik, dengan mengekalkan (keputusan untuk) menghapuskan UPSR dan PT3 kerana ia tidak lagi relevan.
“Sebaliknya kita memberikan ruang kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ini berlangsung dengan baik… apa pun yang berlaku dalam pendidikan harus dikembalikan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar, di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen iaitu Isnaraissah Munirah Majilis@Fakharudy (WARISAN-Kota Belud) dan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mencelah dalam sesi berkenaan meminta pihak kementerian supaya mengembalikan dua peperiksaan terbabit.
Susulan pemansuhan UPSR mulai 2021 dan PT3 mulai 2022, KPM memberi tumpuan kepada pemerkasaan PBS membabitkan komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum serta Pentaksiran Psikometrik.
PBS disifatkan game changer’ untuk KPM beralih daripada pentaksiran berorientasikan peperiksaan ke arah pentaksiran berorientasikan perkembangan murid secara holistik.
Mengulas lanjut, Fadhlina menegaskan, pemansuhan UPSR dan PT3 tidak bermakna peperiksaan itu tidak ada.
“(Peperiksaan) masih ada. Disebabkan itu dalam jawapan saya tadi, saya tegaskan kita akan perkukuhkan ujian akhir ini.
“Ia sebagai sebahagian daripada konteks untuk pentaksiran bagi ibu bapa yang masih merasakan anak-anaknya perlu dinilai melalui peperiksaan dan ia adalah bersifat berkepentingan rendah,” katanya.
Selain itu, Fadhlina berkata apa pun yang berlaku dalam sektor pendidikan, ia harus kembali kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Apabila kita melihat kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu, unsur majunya harus dilihat dalam konteks ia dinilai secara adil,” tambahnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.