Tumpuan :
Nasional

KPM teliti laksana peperiksaan tunggal lepasan matrikulasi, STPM ke universiti

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti cadangan untuk melaksanakan peperiksaan tunggal bagi kemasukan pelajar lepasan matrikulasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke universiti awam.

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh, berkata ia komitmen KPM bagi memastikan pelajar mempunyai landasan cerah bagi melanjutkan pengajian ke universiti awam.

Bagaimanapun beliau berkata sehingga kini belum ada kata putus dimuktamadkan mengenai perkara itu.

“Mengenai cadangan (Ahli Parlimen) Petaling Jaya (Lee Chean Chung) sama ada KPM ada meneliti untuk menyatukan kedua-dua matrikulasi dan STPM, KPM mengambil ini dengan pandangan dan sikap sangat serius.

“Dalam beberapa bulan lepas KPM sedang berusaha meneliti berkenaan dengan cadangan untuk mengadakan ‘single entry exam’ (peperiksaan tunggal kemasukan) bagi lepasan matrikulasi dan STPM,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Chean Chung (PH-Petaling Jaya) sama ada wujudnya perancangan untuk menyatukan matrikulasi dan STPM supaya berada dalam landasan sama.

Pada masa sama, Kah Woh berkata, KPM sedang meneliti cadangan penubuhan Kolej Tingkatan Enam Premium melalui kerjasama silang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Beliau berkata, kerjasama KPM dan KPT ini adalah komitmen berterusan kementerian untuk memperkasa dan menjadikan Tingkatan Enam sebagai laluan pendidikan utama yang menjadi pilihan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian.

“KPM sentiasa meneliti dan menambah baik sistem sedia ada dari semasa ke semasa bagi menjamin kelestarian pendidikan tingkatan enam,” katanya.

Beliau berkata, melalui Pelan Tingkatan Enam 2024 hingga 2030, KPM menyasarkan untuk membangunkan 67 kolej Tingkatan Enam menjelang 2030.

Katanya, sehingga kini KPM mempunyai 27 kolej Tingkatan Enam di seluruh negara.

Selain itu, katanya, KPM menyasarkan untuk mencapai 80 peratus pelajar Tingkatan Enam yang dapat menyambung ke universiti.

“Dalam sesi pengajian pada 2021 hingga 2022, peratusan murid Tingkatan Enam yang dapat menyambung pengajian ke universiti adalah 66.85 peratus; dan 67.876 peratus pada 2022 hingga 2023,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini