ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti faktor-faktor yang menyumbang kepada ketidakhadiran pelajar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata ia bagi membolehkan kementerian membuat intervensi sewajarnya untuk memastikan kehadiran pelajar lebih baik pada masa depan.
“Saya fikir ada banyak faktor dan ia pastilah faktor yang mendesak sehingga mereka tidak boleh hadir untuk mengambil peperiksaan. Jadi, ia perlukan penelitian dan bagi masa untuk teliti, kita akan buat intervensi sewajarnya.
“Bagi menentukan perkara itu membimbangkan atau tidak, ia bergantung kepada apa yang dapat selepas kita teliti nanti…sebab calon kita ini pelbagai ada calon bukan sahaja bawah sekolah KPM, ada juga calon persendirian dan sebagainya jadi perlu pecahan yang lebih teliti,” katanya selepas melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) Keat Hwa di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan sebuah ahbar tempatan hari ini mengenai seramai 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, tidak hadir menduduki peperiksaan berkenaan.
Berdasarkan analisis KPM, calon yang tidak hadir peperiksaan tahun lalu meningkat berbanding calon SPM 2021 yang merekodkan 10,681 atau 2.7 peratus calon tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon berdaftar. – BERNAMA