NILAI: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyiasat berhubung dakwaan berlaku kebocoran soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bagi kertas subjek Sejarah.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya mengambil tanggungjawab penuh mengenai soal itu dan memberi jaminan terhadap integriti pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam yang dilaksanakan.
“Kita akan siasat dan ambil penuh tanggungjawab ini. Pada masa sama saya tegaskan, integriti kita cukup tinggi dalam mengawal dan memastikan isu peperiksaan ini dijaga dengan rapi dan dikawal dengan baik.
“SPM adalah peperiksaan nasional dan dari segi integriti, keselamatan dan kawalan adalah sangat ketat.
“Jadi apa saja dakwaan mengenai kebocoran ini, kita akan siasat,” katanya ditemui pemberita selepas program Hari Perpaduan Silang Budaya dan Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai Impian di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berharap pelajar yang sedang menduduki peperiksaan SPM tidak terganggu dengan berita berkenaan bagi membolehkan mereka memberi fokus pada kertas peperiksaan lain.
“Prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sudah mencukupi bagi mengelakkan isu kebocoran kertas peperiksaan berlaku,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.