Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KPM serah polis siasat dakwaan guru gigit murid 6 tahun

 

Oleh Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang guru yang didakwa menggigit murid berusia 6 tahun di sebuah sekolah di pantai timur kini dalam siasatan polis.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata langkah itu diambil oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kerana pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang bentuk keganasan termasuk buli dan penindasan.

“Kita tidak kompromi sebarang keganasan ataupun buli, penindasan terhadap murid. Ia mesti (disiasat) ikut saluran dan proses yang betul.

“Mesti ada aduan, mesti ada siasatan dan ketelusan. Kita serahkan kepada pihak berkuasa dan kita sedang menantikan keputusan,” katanya ketika ditemui media di Majlis Anugerah Penggunaan Digital dan Teknologi (DUTA) di ibu negara.

Ujar beliau, pihaknya juga akan memantau kes berkenaan dari masa ke semasa.

“Kita pantau dari masa ke semasa, sehingga siasatan diputuskan sama ada akan dibawa ke peringkat lebih jauh lagi.

Jadi jangan risau, saya hendak bagi jaminan, apa sahaja berkaitan aduan melibatkan keganasan ataupun buli mahupun apa sahaja melibatkan fizikal kita siasat. Itu yang mesti kita sampaikan kepada masyarakat.

Kita kena hormat proses itu, bagi ruang siasatan diperkemaskan dan kita akan umumkan bila ada pengumuman penting terkait rapat dengan siasatan,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial berhubung insiden itu dan kini sedang mengambil tindakan.

Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan kementerian memandang serius terhadap dakwaan berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan ibu kepada kanak-kanak lelaki yang dipercayai digigit guru di bibir itu melahirkan rasa bimbang melihat situasi anaknya yang mengalami emosi tidak stabil dan kurang selera makan.

Katanya, anaknya itu juga sering mengamuk, berguling-guling serta merasa takut dan tidak mahu ke sekolah.

Loading...
Terkini