
KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat kes murid yang mendakwa dipukul guru hingga menyebabkan kecederaan pada 10 Disember tahun lalu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beliau mengambil maklum mengenai ahli keluarga kepada murid terbabit, Amirul Akil Mohd Izzat Emir, 12, yang sudah membuat laporan polis mengenai perkara terbabit.
Beliau berkata, KPM akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan siasatan dan memantau kes terbabit dengan lebih teliti.
“Saya fikir bila sudah sampai ke peringkat pihak berkuasa, jadi kita serahkan siasatan penuh itu kepada pihak berkuasa kerana ibu bapa juga sudah membuat laporan. Kita memberi tumpuan kepada soal kaunseling kepada anak ini dan keluarganya.
“Begitu juga dengan soal memberikan peringatan terus kepada semua guru kita supaya mengambil langkah berhati-hati dalam mengurus anak-anak (murid sekolah) ini supaya tidak berlaku apa-apa kecederaan khususnya fizikal kepada anak-anak kita ini.
“Dalam masa yang sama, kita sentiasa membantu dalam proses siasatan ini. Kita telah memberikan peringatan baik kepada sekolah dan guru untuk memberikan kerjasama dalam tempoh siasatan ini.
“Kita pantau sehingga selesai dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Kepimpinan Pendidikan Negeri bertempat di Dewan Sekolah Menengah (SM) Kian Kok, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin.
Semalam media melaporkan ibu kepada Amirul Akil, Syahmina Mohd Azim dan suaminya menyatakan kekecewaan terhadap guru yang didakwa memukul anak mereka sehingga mengalami keadaan ‘cochlear concusion’.
Susulan itu, turut dilaporkan keluarga Amirul Akil akan mendapatkan keadilan menerusi saluran undang-undang berkenaan perkara itu.
Dilaporkan Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah membuka satu kertas siasatan dan telah kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.