PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menyelesaikan masalah 10 guru yang bertugas di Johor bersama ahli keluarga mereka yang berdepan kesulitan untuk pulang ke Sabah dan Sarawak sempena cuti Aidilfitri.
Menerusi satu kenyataan, KPM berkata pihaknya cakna dan memahami kesulitan yang dilalui itu serta mengambil inisiatif bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan syarikat AirAsia untuk membantu mendapatkan tiket penerbangan bagi mereka terbabit.
”Sehubungan dengan itu ke semua 10 orang guru dan 48 orang ahli keluarga masing-masing telah memulakan penerbangan menaiki penerbangan AirAsia seawal 17 April 2023 dengan menggunakan Waran Perjalanan Udara Awam yang layak diterima,” katanya.
Justeru 10 guru bersama 48 ahli keluarga mereka telah memulakan perjalanan pulang ke Sabah dan Sarawak dengan menaiki penerbangan AirAsia sejak semalam menggunakan Waran Perjalanan Udara Awam yang layak diterima.
KPM juga berkata, umum mengetahui semua penjawat awam yang layak menerima Waran Perjalanan Udara Awam masih menerima manfaat seumpamanya.
Sehubungan itu, hebahan palsu mengenai tiket penerbangan percuma pada musim perayaan seperti yang diwar-warkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial adalah berniat untuk mengelirukan.
Perkara berkenaan kini dalam siasatan pihak polis.