NILAI: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyediakan lebih ramai guru yang kompeten dengan teknologi digital untuk melahirkan murid yang mahir digital seiring dengan usaha meletakkan sistem pendidikan negara terus relevan dan berdaya saing.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, untuk itu, seramai 10,235 orang pengetua dan guru besar di seluruh negara dituntut mempunyai daya, wawasan dan kepemimpinan digital.
Katanya, KPM akan menyediakan latihan yang secukupnya kepada pengetua dan guru besar untuk memastikan mereka mampu menjadi peneraju dalam memacu pendidikan digital dalam ekosistem sekolah.
“Peri pentingnya pengetua dan guru besar memiliki kompetensi dalam bidang digital kerana kita mempunyai Dasar Pendidikan Digital yang mana ini adalah komitmen KPM untuk memastikan murid-murid di seluruh negara akan menjadi murid yang fasih digital.
“Kita berhasrat untuk sediakan latihan bagi memastikan guru terlatih dan kompeten digital.
“Untuk itu, kita mengharapkan semua pengetua dan guru besar di seluruh negara bersedia menerima latihan bagi memastikan mereka dapat memacu pendidikan digital ini dalam ekosistem sekolah kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Komensmen Institut Aminuddin Baki (IAB) Kali Ke-23 di Dewan Tuanku Canselor USIM.
Terdahulu, Kementerian Digital sedia membantu Kementerian Pendidikan memperkasakan Dasar Pendidikan Digital dalam melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo dilaporkan berkata, ia secara tidak langsung memperbanyakkan tenaga pekerja digital tempatan di masa hadapan.
Terdahulu dalam ucapannya, Azman berkata ledakan teknologi ketika ini memberi impak yang besar terhadap sistem pendidikan negara sekali gus merupakan satu cabaran kepada semua warga pendidik.
Menurut beliau, menjadi tanggungjawab pengetua dan guru besar serta guru-guru untuk memastikan sistem pendidikan terus relevan dan berdaya saing.
“Untuk itu kita perlu merangka strategi baharu yang berasaskan teknologi digital seiring perkembangan dunia khususnya dalam pendidikan.
“Warga pendidik perlu memperkasakan penggunaan teknologi ini dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), pengurusan sekolah, dan penyampaian perkhidmatan pendidikan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.