Oleh: Pang Chinn Fei
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mensasarkan 150 prasekolah di bawah kendaliannya dapat diwujudkan tahun ini melalui peruntukan RM105 juta.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, mutu pendidikan prasekolah juga akan diselaraskan di semua agensi kerajaan.
Tambahnya, sasaran KPM agar semua guru prasekolah memiliki ijazah sekurang-kurangnya di tahap diploma.
“Guru-guru KPM adalah 100% memiliki ijazah, manakala agensi KEMAS sekarang ini mencapai 78.7% guru-guru mempunyai kelayakan diploma, bagi tadika swasta pula hanya 19.7% jadi saya ingat ini cabaran untuk kita untuk memastikan semua prasekolah dapat diselaraskan untuk meningkatkan keupayaan guru-guru (prasekolah),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Bual Bicara Eksekutif sempena Perhimpunan Bulanan KPM dan Amanat Tahun Baharu 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini.
Menurut Azman, bagi mencapai sasaran mewujudkan 150 prasekolah tahun ini, ia akan dibina bukan sahaja di sekolah rendah, malah di semua institusi di bawah KPM termasuk di sekolah menengah, kolej vokasional, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan kolej matrikulasi.
134 prasekolah di bawah KPM berjaya diwujudkan tahun lalu, melebihi sasaran 129 yang ditetapkan sebelum ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.