Tumpuan :
Nasional

KPM sasar 1,000 lagi sekolah satu sesi menjelang 2030

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada sidang media sempena INTAN Minister’s Conversation : Pendidikan Menyemai Kepimpinan, Membentuk Generasi Masa Hadapan di Dewan Jemerlang, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan (IKWAS) di Kluang Johor. FOTO NSTP

KLUANG: Lebih 1,000 sekolah lagi di seluruh negara disasarkan untuk melaksanakan sistem persekolahan satu sesi menjelang 2030.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini lebih 9,000 sekolah rendah dan menengah kerajaan sudah melaksanakan sesi itu.

Katanya, kerajaan perlu mempertingkatkan infrastruktur, perjawatan dan pengurusan lain bagi memenuhi maksud berkenaan.

“Ya, ini sebenarnya perkembangan pendidikan yang sangat baik sebenarnya. Kita ada kira-kira 10,000 sekolah dan lebih 9,000 sudah melaksanakan persekolahan satu sesi… sedikit lagi yang perlu kita uruskan.

“Kita perlu mengambil kira banyak faktor termasuk kekangan tempat, premis sekolah itu sendiri dan pengurusan lain yang perlu kita ambil perhatian.

“Tetapi memang menjadi hasrat kita untuk menjadikan satu sesi persekolahan sahaja untuk menjadikan sekolah tempat yang kondusif untuk anak-anak.

“Jadi insya Allah mudah-mudahan saya ingat kita berhasrat untuk melihat lebih banyak lagi sekolah melaksanakan satu sesi,” katanya pada sidang media sempena INTAN Minister’s Conversation : Pendidikan Menyemai Kepimpinan, Membentuk Generasi Masa Hadapan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan (IKWAS) di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan hampir 9,000 sekolah di seluruh negara sudah mula menggunakan sistem satu sesi bagi meringankan beban yang digalas oleh guru.

Fadhlina dilapor berkata, sehingga Disember lalu terdapat 8,997 buah sekolah atau 87.9 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di Malaysia telah melaksanakan sistem satu sesi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini