comscore
Tumpuan :
Nasional

KPM rakam takziah pada keluarga bakal guru yang maut terkena renjatan elektrik

SEGAMAT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelatih guru yang meninggal dunia akibat renjatan elektrik dibangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh, di Segamat, pagi semalam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menerusi status di Facebook turut mendoakan roh mangsa dicucuri rahmat Allah SWT.

“Semalam kami menerima perkhabaran dukacita di atas pemergian bakal guru Allahyarham Saiful Asyraf Mukhtar, 21 berasal dari Sabah.

“Arwah terbabit dalam kemalangan semasa melaksanakan kerja-kerja murni pasca banjir bagi pembersihan Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh di Segamat.

“Seluruh warga KPM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah dan berdoa agar rohnya dicucuri rahmat Allah SWT,” katanya.

Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, mangsa yang juga bakal guru itu terkena renjatan elektrik ketika menggunakan penyembur air atau ‘water jet’ sewaktu melakukan kerja pembersihan pasca banjir di sekolah itu.

Mangsa rebah, cedera pada kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Daerah Segamat (HDS).

Saiful Asyraf Mukhtar merupakan seorang pelatih guru di Institiut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur.

Loading...
Terkini