comscore
Tumpuan :
Nasional

KPM proaktif tangani LGBT

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak bertolak ansur dengan ideologi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bagi membebaskan institusi pendidikannya daripada terjebak dengan gerakan songsang itu.

Ketegasan itu disuarakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sebagai menjawab dakwaan Datuk Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) bahawa pengaruh LGBT sudah menembusi institusi persekolahan sehingga mengakibatkan ribuan murid terjebak dengan ideologi itu.

Mengulas lanjut beliau berkata KPM mengambil tindakan dengan memberi penekanan aspek pembentukan insaniah dalam kalangan murid.

“Untuk makluman YB (Yang Berhormat), kita tidak kompromi dalam soal adab, akhlak dan juga budaya songsang.

“Untuk itu kita memberikan penekanan kepada aspek Karamah Insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti.

“Dalam masa yang sama, penekanan terhadap konsep ‘Anak Yang Baik Lagi Cerdik (ABC) merentas semua segmen dalam pendidikan yang turut diberi perhatian,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Dewan Rakyat hari ini.

Menyentuh kegusaran Ahli Parlimen Pokok Sena mengenai LGBT, Fadhlina menjelaskan KPM sentiasa cakna dan proaktif dalam isu berkait rapat dengan gejala sosial yang berlaku dalam kalangan generasi muda.

Katanya, banyak program yang dilaksanakan termasuk secara rentas kementerian antaranya dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.

“Ia bagi memastikan pelaksanaan pendidikan seksualiti secara kohesif dan komprehensif selain selaras dengan pelbagai rujukan dan saranan antarabangsa, termasuk Garis Panduan Teknikal Antarabangsa Mengenai Pendidikan Seksualiti Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya.

Loading...
Terkini