NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) meminta semua sekolah mempertingkatkan advokasi garis panduan gangguan seksual supaya pelajar yang menjadi mangsa tidak takut tampil membuat aduan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, garis panduan menangani gangguan seksual telah dikeluarkan dan berharap semua pihak dapat mengikuti dan mematuhi panduan terbabit.
“Saya fikir pendekatan yang telah kita (KPM) beritahu beberapa kali tentang gangguan seksual ini yang kita sama sekali tidak kompromi.
“Sekolah adalah tempat selamat dan kita mahu pastikan bahawa seluruh ekosistem sekolah ini mendukung kepada keselamatan anak-anak.
“Jadi saya tegaskan sekali lagi bahawa garis panduan tentang gangguan seksual ini termasuk menangani isu ini di institusi pendidikan di bawah KPM telah dikeluarkan dan minta untuk semua pihak mengambil tanggungjawab penuh terhadap garis panduan terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas terdapat dakwaan gangguan seksual membabitkan pelajar masih berlaku namun mereka takut untuk melaporkan kejadian terbabit.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM akan memastikan aduan yang dibuat oleh pelajar ditangani dengan integriti dan profesionalisme yang tinggi.
“Kita akan pastikan setiap aduan ditangani dengan penuh integriti dan profesionalisme yang tinggi.
“Oleh itu, mangsa tidak perlu takut atau ragu untuk tampil menceritakan kejadian yang berlaku kerana KPM komited untuk melindungi keselamatan mereka.
“Kita percaya dengan meneruskan advokasi ini lebih ramai pelajar yang terkesan dapat tampil bersuara, manakala pihak sekolah pula digesa agar sentiasa berwaspada dan mengambil tindakan segera apabila terdapat aduan berkaitan gangguan seksual,” katanya yang sekali gus membina kepercayaan pelajar dan ibu bapa terhadap keselamatan sekolah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.