KUALA LUMPUR: Pelbagai inisiatif penting sedang dilaksana Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mereformasikan pendidikan negara termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah.
KPM dalam kenyataan hari ini menjelaskan inisiatif reformasi pendidikan termasuk Kurikulum Persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pembelajaran.
Kelas prasekolah akan diperluaskan di seluruh institusi pendidikan KPM. Peluasan kelas prasekolah bagi memastikan isu keciciran murid dapat ditangani daripada peringkat awal.
Tumpuan turut diberi kepada pembangunan profesionalisme guru. Pelbagai program ditawarkan untuk meningkatkan kompetensi dan profesionalisme guru dalam perkhidmatan.
Terkini, KPM memperkenalkan platform Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) bagi memenuhi keperluan kompetensi digital guru.
“KPM komited memastikan hasrat untuk mereformasikan pendidikan negara berjaya. Ia adalah usaha berterusan yang memerlukan komitmen, kerjasama dan sokongan semua pihak,” kata kenyataan itu.
Menurut KPM, ia mengambil perhatian Laporan Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills berkenaan sistem pendidikan negara.
Perkara utama yang disentuh dalam laporan Bank Dunia seperti kualiti dan akses pendidikan prasekolah, kecekapan murid serta pembangunan profesionalisme guru sememangnya berada dalam perhatian KPM.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.