Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KPM perkenal Program Intervensi dan Numerasi bantu pelajar yang belum kuasai kemahiran 3M

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan Program Intervensi dan Numerasi bagi mengatasi masalah keciciran dalam kalangan murid tahun 1 bermula pada sesi akademik 2024/2025.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia bertujuan mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) serta yang memerlukan intervensi awal bersesuaian dengan kebolehan, keupayaan dan gaya pembelajaran mereka.

Jelas beliau, tempoh tiga bulan pertama diberikan kepada guru untuk membuat saringan dan mengenalpasti tahap penguasaan murid.

“Murid tahun 1 selepas 3 bulan mereka berada di sekolah akan terus dilaksanakan ujian pengesanan ini untuk kita kenal pasti dari segi kekuatan literasi dan numerasi mereka”,katanya.

“Kalau untuk literasi dan numerasi ni selepas pengesanan itu akan ada guru yang mempunyai kepakaran itu akan mengendalikan kelas tersebut. Kanak-kanak ini akan dikeluarkan sebab itu kita kata pengesanan awal ini sangat penting akan ada kelas yang berasingan untuk berikan tumpuan pada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media intervensi Kurikulum di Kementerian Pendidikan di sini pada pagi tadi.

KPM juga dalam pada itu akan menyebar luas Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 kepada semua guru mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah melalui penganjuran bengkel dan latihan.

Ia bagi memastikan penambah baikan yang berterusan untuk meningkatkan kualiti demi manfaat semua murid.

Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa juga akan dipermudahkan yang mana ia boleh diakses secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu.

Ia termasuk keputusan ujian pertengahan dan akhir tahun akdemik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini