![](https://media.buletintv3.my/2024/12/6C76D079-7668-4103-AE2F-E67BC9D8D895-min-scaled.jpeg)
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti langkah penambahbaikan segera bagi memastikan keberkesanan inisiatif penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, termasuk penstrukturan semula pusat tanggungjawab berkaitan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha itu bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan murid, selain memperkukuh peranan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC).
“Penstrukturan semula ELTC secara radikal dijangka memberi impak besar terhadap latihan dan pengajaran guru di dalam kelas.
“KPM juga terus memberi penekanan kepada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), memastikan bahasa Inggeris dikuasai sebagai bahasa ilmu dan komunikasi antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Fadhlina, usaha pengukuhan bahasa Inggeris turut merangkumi empat inisiatif utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, iaitu Highly Immersive Programme (HIP), Dual Language Programme (DLP), Program Peningkatan Kemahiran Bahasa Inggeris di Sekolah Dalam Talian, dan Professional Upskilling of English Language Teachers (Pro-ELT).
Selain itu, penggunaan kecerdasan buatan (AI) melalui pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) akan dimanfaatkan secara optimum bagi membantu pelajar meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris mereka.
Beliau menegaskan, usaha ini selaras dengan saranan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu inisiatif pengukuhan bahasa Inggeris disegerakan dalam sistem pendidikan negara.
“Ia juga seiring dengan agenda Reformasi Pendidikan KPM yang menekankan pemartabatan bahasa Melayu dan pemerkasaan bahasa Inggeris sebagai hala tuju utama pendidikan negara,” katanya.
KPM, katanya, menghargai keprihatinan Perdana Menteri terhadap isu pendidikan dan akan terus berusaha mereformasikan sistem pendidikan demi meningkatkan kualiti pembelajaran di negara ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.