Tumpuan :
Nasional

KPM perkasa pelaksanaan NACS 2024-2028 menerusi pendidikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) komited memastikan pemerkasaan etika, integriti dan antirasuah menerusi pendidikan seperti terkandung dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Dalam satu kenyataan hari ini, KPM berkata usaha memerangi rasuah penting kerana ia adalah salah satu daripada agenda utama reformasi negara.

Justeru, katanya, dalam mencapai hasrat berkenaan, KPM melancarkan Kit Duta Sahsiah pada 25 November lalu sebagai pemangkin pembentukan karakter ‘karamah insaniah’ dalam kalangan murid berasaskan kepada nilai-nilai murni dan keperibadian unggul.

Menurutnya, Kit Duta Sahsiah juga adalah selaras dengan fokus utama KPM pada tahun ini iaitu untuk memperkasa penyampaian perkhidmatan pendidikan serta memperluas konsep Generasi MADANI KPM kepada semua penjawat awam dan institusi pendidikan.

“Pelbagai modul latihan dan bahan rujukan meliputi aspek komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah yang menjadi antara elemen penting pembentukan karakter ‘karamah insaniah’ terkandung dalam kit berkenaan.

“Duta sahsiah yang dipilih adalah suri teladan untuk mempromosi serta mengamalkan nilai-nilai murni dan perilaku positif seperti berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab.

“Kit yang dilancarkan itu adalah dibawah Substrategi 5, NACS 2024-2028,” katanya.

KPM berkata pihaknya bertanggungjawab meningkatkan kesedaran dan pengetahuan antirasuah menerusi pelaksanaan enam substrategi yang terbahagi kepada tempoh jangka masa pendek dan sederhana.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini