Tumpuan :
Nasional

KPM pandang serius isu kekurangan guru terutama dalam mata pelajaran kritikal

 

 Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius isu kekurangan guru di sekolah kendaliannya di seluruh negara terutama bagi opsyen mata pelajaran kritikal.

Sehubungan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kementeriannya sentiasa mempertingkatkan sinergi dan kerjasama strategik dengan Pihak Berkuasa Melantik (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) serta agensi pusat berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

“Dalam menangani isu kekurangan guru, beberapa kaedah dipersetujui dan dilaksanakan untuk membolehkan lebih ramai calon berpotensi dilantik sebagai guru.

“Bagi langkah jangka pendek dan sederhana, KPM sedang melaksanakan langkah pengambilan guru menggunakan kluster mata pelajaran selain turut memperluaskan pengambilan guru kepada graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara.

“KPM juga mengambil langkah dengan membuat pelantikan guru secara Contract of Service (CoS) dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan juga akan dilaksanakan,” katanya katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen semalam.

Beliau menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) berhubung langkah-langkah strategik yang sedang dan akan diambil bagi menangani kekurangan guru terlatih khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman serta sasaran KPM dalam merapatkan jurang nisbah guru-pelajar antara sekolah bandar dan luar bandar.

Fadhlina berkata guru-guru lantikan CoS itu akan dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang sesuai melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) selama setahun di Institut Pendidikan Guru (IPGM).

“Selain itu, KPM juga turut melaksanakan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan selama setahun bagi kursus sepenuh masa kepada graduan tanpa pendidikan bermula tahun ini.

“Berhubung langkah jangka panjang pula, KPM melaksanakan tindakan dengan membuat pengambilan calon guru bagi Program Praperkhidmatan PISMP lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Program Matrikulasi dalam beberapa bidang pengkhususan untuk keperluan guru sekolah rendah bermula tahun ini,” katanya.

Fadhlina berkata, KPM juga mengambil langkah lain melalui penubuhan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru KPM yang berperanan untuk mengenal pasti perubahan yang berlaku dalam dasar, kurikulum, program, dan enrolmen yang memberi implikasi kepada keperluan guru.

“Ia seterusnya memastikan keseimbangan dalam pengambilan serta penempatan guru sekolah KPM.

“Sehingga 30 September lalu, statistik jumlah pengisian guru adalah seramai 416,260 orang dan peratus pengisian adalah sebanyak 96.18 peratus.

“Pada tarikh sama itu juga, seramai 13,749 orang guru baharu sudah ditempatkan bagi mengisi perjawatan di sekolah rendah dan menengah seluruh negara,” katanya.

Fadhlina berkata nisbah guru murid adalah berdasarkan penempatan murid di sesebuah negeri, daerah dan sekolah.
“Berdasarkan data semasa, nisbah guru murid bandar dan luar bandar adalah seperti berikut, iaitu bandar adalah 1:12.5, dan luar bandar adalah 1:9.5.

“KPM sentiasa memantau penempatan guru bagi memastikan nisbah guru murid di bandar dan luar bandar berada dalam keadaan seimbang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini