MARANG: Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius penularan gejala sosial seperti menghisap rokok elektronik atau vape dan gejala sosial dalam kalangan pelajar pada masa ini.
Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek berkata, garis panduan yang jelas telah dikeluarkan kementerian bagi menangani isu tersebut.
Beliau berkata, pengurusan sekolah sentiasa menjalin hubungan erat dengan jawatankuasa permuafakatan terdiri daripada pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru untuk menangani gejala sosial terbabit.
Jelasnya, advokasi sering dilakukan untuk menghindarkan pelajar daripada terjebak dengan budaya menghisap rokok dan vape serta gejala sosial ini.
Tambah beliau, ketika di dalam waktu persekolahan adalah menjadi tanggungjawab pihak sekolah untuk mengawasi pelajar.
Namun di luar sekolah pula adalah menjadi tanggungjawab ibubapa mengawal selia anak-anak mereka agar terhindar daripada gejala negatif tersebut.
“Kita sentiasa memandang apa saja gejala sosial di kalangan murid kita sebagai serius sebab itu penegasan kita baik vape rokok isu-isu disiplin ini dalam perhatian dan mesti mendapat dokongan dari semua pihak bukan saja di peringkat kementerian dan sekolah tetapi juga ibu bapa dan masyarakat , garis panduan kita cukup tegas dan kita minta dari masa ke masa garis panduan dan tindakan disiplin jika didapati sememangnya anak-anak kita terlibat diambil perhatian sepenuhnya”, katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pejabat Pendidikan Daerah Marang hari ini.
30 Julai lalu media melaporkan seorang pelajar tingkatan empat terlantar di wad Hospital Kemaman di sini selama lebih seminggu ekoran tidak sedarkan diri selepas disyaki menghisap vape jenis ‘magic mushroom’.
Selain itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Baru Permas Jaya A, Habib Syed Sallilah Aasad pula dilaporkan mendakwa semakin ramai pelajar sekolah di Johor Bahru dikhuatiri ketagih vape perisa sama yang didakwa mudah didapati.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.