comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KPM lancar garis panduan tangani buli, gangguan seksual pelajar

 

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli dan Gangguan Seksual dalam mengekang salah laku buli dan gangguan seksual dalam kalangan pelajar.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, garis panduan itu akan diguna pakai di semua institusi pendidikan kelolaan KPM bagi membolehkan kedua-dua isu berkenaan ditangani sepenuhnya melalui pelbagai kaedah antaranya advokasi dan program intervensi.

Katanya, pelaksanaan garis panduan merangkumi pelbagai komponen itu akan diperincikan melalui surat pekeliling yang dikeluarkan pihaknya nanti ke semua institusi pendidikan.

“Garis panduan dua salah laku ini akan digunakan di semua institusi pendidikan di bawah KPM meliputi sekolah, Kolej Matrikulasi, Kolej Tingkatan Enam dan Institut Pendidikan Guru (IPG),” katanya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (kanan) merasmikan Program Sahsiah Terbilang Hentikan Buli Membentuk Anak Yang Baik Lagi Cerdik dan Pelancaran Garis Panduan Pengurusan Buli Dan Gangguan Seksual. – Foto NSTP

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan garis panduan itu di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, di sini, hari ini.

Sebelum itu pada majlis sama, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menyempurnakan Program Sahsiah Terbilang Hentikan Buli Membentuk Anak Yang Baik Lagi Cerdik yang dihadiri guru dan pelajar sekolah itu.

Beliau berkata garis panduan itu dihasilkan jawatankuasa khas yang dilantik pihaknya dengan kerjasama rakan sinergi yang banyak membantu dalam urusan pengendalian salah laku buli dan gangguan seksual.

“Kita (KPM) doakan dan memberikan sepenuh komitmen untuk melaksanakan garis panduan ini dengan kerjasama daripada peringkat JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan segera.

“Apa yang menjadi keutamaan kita adalah teras utama KPM iaitu ‘Karamah Insaniah’ yang kita terapkan adalah untuk memelihara maruah manusia dan mengelak penindasan berlaku dalam ekosistem sekolah kita.

“Ini komitmen besar dan sebab itu juga saya sebut bahawa tiga dosa besar di peringkat KPM adalah buli, gangguan seksual dan perkauman yang kita tidak akan kompromi,” katanya

Mengulas situasi salah laku yang didapati meningkat sejak kebelakangan ini, Fadhlina berkata, ia masih terkawal memandangkan pihaknya mempunyai proses kerja yang efisyen.

“Sekiranya ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan proses ini, boleh ambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana tindakan yang telah kita lakukan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN:

Loading...
Terkini