Tumpuan :
Nasional

KPM, KKM perluas program pembetulan rabun murid Tahun 1 B40, M40

Fadhlina Sidek dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan kepada Murid Tahun Satu Kategori B40 dan M40 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2).

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berhasrat memperluaskan program pembetulan ketajaman penglihatan mata kepada murid sekolah rendah Tahun 1 kategori B40 dan M40 ke seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu bagi memastikan isu kesihatan termasuk penglihatan terus diberi keutamaan.

“Jadi saya rasa ini program yang amat baik, sebelum ini kita hanya dapat program pemberian kaca mata sahaja tetapi hari ini pengkhususan yang sebenarnya itulah penyelesaian pada masalah pembelajaran kepada anak anak ini yang mesti kita ambil perhatian.

“Jadi insyaAllah program ini akan kita perluaskan dan ini komitmen kita bersama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan kepada Murid Tahun Satu Kategori B40 dan M40 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2).

Dr Dzulkefly berkata program rintis itu bagi membolehkan anak-anak tidak tergendala dalam pembelajaran.

“Ini merupakan satu program rintis yang akan dijalankan suatu yang sangat baik kita tahu bahawa rabun masalah refraksi ketidaktajaman penglihatan ini satu cabaran yang lebih besar bagi murid-murid di tahun rendah lagi.

“Mereka akan tergendala dalam pembelajaran dan pengajaran. Jadi sangat mustahak untuk ditangani segera dan hari ini kita telah mulakan di sekolah ini,” katanya.

Terdahulu, 100 murid yang dikenal pasti memerlukan cermin mata dan layak menerima bantuan telah menerima penajaan kaca mata secara percuma.

Program itu melibatkan pemeriksaan refraktif menyeluruh di 16 sekolah di sekitar Putrajaya dengan penyertaan 258 pelajar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini