comscore
Tumpuan :
Nasional

KPM kemas kini garis panduan kemasukan guru bahasa Inggeris dari Singapura 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengemas kini garis panduan dan mekanisme kemasukan tenaga pengajar Bahasa Inggeris dari Singapura.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, cadangan mewujudkan skim bantuan atau melantik sukarelawan yang dibiayai republik itu untuk ke kawasan tertentu di negara ini bagi mengajar mata pelajaran itu dilihat bukan sahaja membantu tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar malah mengukuhkan hubungan diplomatik antara dua negara.

“Ia bukan satu perkara yang asing dan pernah dilaksanakan sebelum ini dengan (melibatkan tenaga pengajar) Amerika Syarikat  dan Korea Selatan untuk Bahasa Korea,  jadi saya tidak fikir ia perkara yang sukar (untuk dilaksanakan),”  katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Koleksi Merdeka 2024 Prospec KPM X Fazura di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan mewujudkan skim bantuan atau melantik sukarelawan yang dibiayai republik itu bagi mengajar bahasa Inggeris ialah hasil perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong sebelum ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan 17 Ogos ini, Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR berkata, beliau akan memastikan jentera parti itu memberi sepenuh komitmen bagi memastikan kemenangan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional.

“Calon sudah pun kita ketahui, Wanita PKR akan memberikan komitmen penuh kepada kempen dan mengatur semua strategi yang saya fikir penting untuk menawan Nenggiri,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini