comscore
Tumpuan :
Nasional

KPM-KBS meterai Kod Sukan Selamat minggu depan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memeterai Kod Sukan Selamat pada minggu depan dalam usaha mewujudkan ekosistem sukan yang selamat untuk pelajar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dengan pemeteraian kod itu kelak, ia sekaligus akan terpakai untuk semua kejohanan sukan di bawah KPM.

“Kita bagi komitmen penuh kerana kita nak pastikan ekosistem selamat untuk anak-anak kita bersukan dan ruang yang lebih mengikat dalam konteks memastikan mereka ini dapat dilindungi daripada sebarang bahaya seperti gangguan seksual, buli dan pengantunan (kanak-kanak),” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas melancarkan Takwim Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) tahun 2023, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hari ini melancarkan Kod Sukan Selamat bagi menjamin hak serta kebajikan atlet dan komuniti sukan dalam negara untuk menikmati persekitaran sukan yang selamat.

Kod dibangunkan KBS itu adalah garis panduan mengenai persekitaran sukan yang selamat, selain menekankan peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam menangani sebarang bentuk gangguan dan penderaan dalam sukan.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, intipati Kod Sukan Selamat berdasarkan Kod Olimpik merangkumi aspek etika, hubungan, peranan ibu bapa dan komuniti sukan secara keseluruhan dan berkait rapat akses untuk membuat aduan gangguan seksual, buli dan sebagainya.

Kejohanan MSSM 2023 akan dilaksanakan secara empat fasa bermula 15 Julai hingga 19 Oktober depan, dimulakan dengan Kejohanan Merentas Desa di Kelantan.

Fadhlina berkata, KPM menyasarkan penyertaan seramai 19,232 murid, jurulatih, pengurus dan pegawai kontinjen Majlis Sukan Negeri.

“Tema kejohanan adalah Sukan Nadi ABC (Anak Yang Baik Lagi Cerdik). ABC itu pasti boleh dilahirkan kerana sukan ini adalah satu segmen yang akan membentuk kekuatan anak-anak daripada aspek disiplin, fokus dan interaksi sosial.”

“Dalam konteks sukan, mereka akan dapat menyemai sifat hormat antara satu sama lain, aktiviti-aktiviti kukuh perpaduan dan saya percaya dalam ruang yang lebih besar, mereka ini boleh menjadi pemimpin berdasarkan sifat-sifat yang ada dalam segmen sukan ini,” katanya.

Loading...
Terkini