Tumpuan :
Nasional

KPM kaji cadangan peperiksaan kemasukan tunggal lepasan STPM dan matrikulasi ke universiti awam

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang meneliti cadangan untuk mengadakan satu peperiksaan kemasukan tunggal bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan lepasan matrikulasi ke universiti awam.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh bagaimanapun berkata, pada masa ini, pihaknya tidak mempunyai kata putus berkenaan perkara itu.

“Cuma KPM memberikan komitmen untuk memastikan anak-anak kita dari lepasan matrikulasi atau STPM mempunyai satu landasan lanjutan pengajian yang cerah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai persepsi awam yang negatif terhadap STPM sehingga ia tidak menjadi pilihan utama oleh pelajar.

Chean Chung juga mendakwa kadar kegagalan mereka yang mengambil peperiksaan STPM juga dianggap lebih tinggi, selain bertanya adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menyatukan matrikulasi dan STPM agar berada satu landasan yang sama.

Mengulas lanjut, Kah Woh turut mengambil maklum kebimbangan dan pandangan negatif berkait STPM itu.

Katanya, pihak KPM juga menetapkan satu sasaran agar kemasukan pengajian pelajar yang mengambil STPM ke universiti awam mencapai sebanyak 80 peratus.

Menurutnya, berdasarkan kepada statistik, bagi sesi pengajian 2021-2022, peratusan pelajar tingkatan enam yang menyambung pengajian ke peringkat universiti awam adalah sebanyak 66.85 peratus.

“Sesi pengajian 2022-2023, peratusan pelajar yang dapat menyambung pengajian ke peringkat universiti adalah sebanyak 67.87 peratus manakala sesi pengajian 2023-2024, 68.03 peratus,” katanya.

Beliau berkata, KPM juga giat mempromosikan untuk melanjutkan pengajian STPM kepada ibu bapa dan pelajar.

Loading...
Terkini