Tumpuan :
Nasional

KPM jamin bayaran elaun petugas, pemeriksa SPM 2022 diselesaikan sebelum 31 Julai

Foto: KPM / Twitter

KUALA LUMPUR: Pembayaran Tuntutan Ikhtisas (IKH) dan Tuntutan Perjalanan (TNT) bagi petugas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di sembilan negeri sudah selesai sepenuhnya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan demikian menerusi satu kenyataan di Twitter.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa seramai 131,318 petugas dan 29,421 pemeriksa peperiksaan terbabit dalam SPM 2022.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan pemeriksa peperiksaan itu, pembayaran IKH bagi pemeriksa sudah selesai 98.6 peratus, manakala 26.2 peratus tuntutan TNT juga selesai dibayar.

“Pembayaran bagi IKH dan TNT bagi semua petugas peperiksaan adalah diurus dan dibayar oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing menggunakan peruntukan yang telah diturunkan Lembaga Peperiksaan (LP) kepada JPN.

“Pembayaran TNT memerlukan semakan dokumen secara lebih teliti membabitkan jarak perjalanan, resit hotel atau loging, surat lantikan, surat panggilan mesyuarat dan lain-lain dokumen berkaitan berdasarkan tatacara dan peraturan kewangan yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

KPM turut memaklumkan, sekiranya tuntutan yang dikemukakan oleh petugas peperiksaan tidak tepat dan dokumen tidak lengkap, proses semakan akan terganggu menyebabkan kelewatan dalam pembayaran.

Katanya, LP memantau prestasi pembayaran tuntutan oleh JPN yang dikemas kini setiap hari. Semua tuntutan perlu diselesaikan oleh JPN selewat-lewatnya pada 31 Julai depan.

“Pemeriksaan skrip jawapan peperiksaan telah selesai pada 16 April lalu dan permohonan tuntutan secara dalam talian melalui sistem LPSkor sudah dibuka mulai 1 Mei lepas.

“Pembayaran bagi IKH dan TNT pemeriksa dibayar oleh LP secara terus ke akaun pemeriksa.”Strategi pembayaran adalah dengan menyelesaikan dahulu pembayaran bagi IKH disusuli dengan pembayaran TNT yang memerlukan semakan dokumen secara teliti berdasarkan tatacara dan peraturan kewangan yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Justeru itu, KPM komited memastikan pembayaran tuntutan petugas dan pemeriksa peperiksaan SPM bagi tahun 2022 diselesaikan segera.

“Pembayaran tuntutan IKH dan TNT petugas dan pemeriksa peperiksaan akan diselesaikan sepenuhnya selewat-lewatnya pada 31 Julai 2023.”KPM berterima kasih dan menghargai sumbangan setiap petugas dan pemeriksa peperiksaan dalam memastikan peperiksaan SPM Tahun 2022 berjalan lancar,” katanya.

Loading...
Terkini