GEORGE TOWN: Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) akan digunakan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 dalam usaha menangani kes kehamilan remaja di luar nikah yang dilihat semakin membimbangkan.
PEERS diajar melalui kurikulum Pendidikan Kesihatan bermula dari peringkat prasekolah hingga sekolah menengah dan murid-murid dilengkapi dengan maklumat serta kemahiran, khususnya kecekapan psikososial untuk membuat ‘informed decisions’ dalam kehidupan harian.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata pihaknya mengambil perhatian serius isu yang berbangkit dan sentiasa mengalu-alukan kerjasama rentas kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menangani isu yang berlaku.
“Saya ingat keprihatinan kita sama dengan KPWKM apabila kita bercakap tentang soal kehamilan di luar nikah yang kita memberikan tumpuan penuh kepada agenda-agenda pendidikan khususnya yang terkait rapat dengan kesihatan reproduktif.
“Begitu juga dari semasa ke semasa kita menjalankan program berkaitan advokasi membabitkan isu kesihatan reproduktif.
Ini termasuk program bersama KPWKM bagi menangani isu gangguan seksual, isu kesihatan gadis, ‘safe touch’ (sentuhan selamat) dan ‘bad touch’ (sentuhan tidak selamat) yang masih lagi kita laksanakan di peringkat KPM,” katanya ketika ditemui pemberita ketika merasmikan Program Universiti Sains Malaysia (USM) Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Week 2024 di USM, di sini hari ini.
Beliau mengulas berhubung langkah KPM dalam menangani isu kehamilan remaja yang semakin membimbangkan.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihaknya juga akan memberikan tumpuan khususnya berkaitan dengan modul PEERS supaya guru dan murid untuk memperkasa dari segi maklumat serta advokasi berkaitan isu berkenaan.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan di negara ini dalam tempoh lima tahun lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 17,646 orang remaja tidak berkahwin ketika hamil.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.