PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meningkatkan usaha mencapai standard global yang telah termeterai dalam kerangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dengan memberi tumpuan kepada enam bidang utama.
Fokus berkenaan merangkumi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan digital, agenda Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), intervensi kurikulum, penyelarasan prasekolah dan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata ia antara lain bertujuan merancang inisiatif bagi menangani isu keciciran murid dalam pembelajaran serta mempromosi dan memupuk minat murid dalam bidang STEM, terutama pada peringkat sekolah melalui program dan aktiviti anjuran KPM dan agensi luar.
“Selain itu, mengupayakan keterampilan berbahasa murid sehingga fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan yakin berkomunikasi dalam bahasa Inggeris,” katanya dalam wawancara khas baru-baru ini.
Beliau antara lain menyentuh mengenai signifikan dan kejayaan PPPM serta reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan ketika ini.
Mengambil contoh kluster intervensi kurikulum, Azman berkata, 122,062 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2024/2025 sedang mengikuti program intervensi bagi meningkatkan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) selama tiga bulan bermula Julai lalu.
Bagi kluster pendidikan digital, katanya, 99.9 peratus sekolah mempunyai rakan strategik pendidikan digital dan 86.5 peratus sekolah dilengkapi peranti pengajaran dan pembelajaran di makmal komputer sekolah.
“Bagi STEM, KPM akan mempromosi dan memupuk minat murid dalam bidang itu terutama pada peringkat sekolah melalui program dan aktiviti anjuran kementerian serta agensi luar,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.