Tumpuan :
Nasional

KPM cadang bentang RUU wajibkan pendidikan peringkat menengah di Parlimen

 

Oleh : Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi

TUMPAT: Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah di Dewan Rakyat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkara tersebut sudah dalam penelitian dan perlu melalui urutan dan perbincangan tertentu sebelum ia dapat dilaksanakan.

Menurutnya, RUU berkenaan adalah komitmen KPM bagi memastikan tiada anak warganegara yang tercicir daripada mendapat pendidikan peringkat menengah.

Katanya ketika ini Dasar Pendidikan Wajib termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996 hanya sehingga darjah 6.

“Soal ketidakhadiran dan keciciran pelajar ni bukan sahaja tanggungjawab KPM sekolah dan guru dia mesti ada ekosistem ya termasuk ibu bapa kita banyak program intervensi untuk menarik pelajar ke sekolah termasuk program cakna dan lain RMT antara program nak tarik pelajar ke sekolah tapi tak cukup effort kita sahaja mesti dari ibu bapa sebab itu ke hadapan kita sudah ada persekolahan wajib darjah satu sampai darjah enam ke hadapan langkah kita adalah pastikan persekolahan di peringkat menengah juga wajib kita dapat kekang isu keciciran ini collective effort dari semua pihak untuk pastikan anak ke sekolah.”

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Perasmian Sekolah Komprehensif 9 (K9) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, di Tumpat, Kelantan.

Fadhlina memberitahu, pelaksanaan Sekolah K9 dilihat mampu menangani masalah keciciran pelajar di kawasan pedalaman.

Katanya, sehingga kini sebanyak 16 Sekolah Komprehensif K9 diwujudkan termasuk di Sabah dan Sarawak serta Pahang.

Jelasnya SK Pulau Beluru adalah model sekolah K9 yang pertama di Kelantan menempatkan pelajar menengah bermula dari tingkatan satu sehingga tingkatan tiga dengan menumpang bangunan sedia ada di SK Pulau Beluru.

Menurutnya ibu bapa anak di sekolah itu terpaksa menanggung kos 30 ringgit sehari untuk hantar anak ke sekolah kerana perlu menaiki bot menyeberangi sungai dan bas untuk sampai ke sekolah menengah di tanah besar.

Beliau berkata, pihaknya akan melihat keperluan dari semasa ke semasa untuk menambah bilangan Sekolah K9 terutama di kawasan-kawasan pedalaman.

Untuk rekod, setakat ini Akta Pendidikan 1996 melalui Seksyen 29A (2) mewajibkan ibu bapa menghantar anak mereka mengikuti pelajaran sekolah rendah selama enam tahun dan sekiranya gagal, ibu bapa boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Loading...
Terkini