Tumpuan :
Nasional

KPM buat persiapan awal hadapi SPM musim banjir

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meninjau pameran peralatan persiapan menghadapi banjir pada majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2023/2024 di SK Taman Dato’ Harun (2) Petaling Jaya hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Persediaan awal bagi menghadapi kesan Monsun Timur Laut (MTL) ketika pelajar Tingkatan Lima menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula bulan depan, telah dibuat Kementerian Pendidikan (KPM).

Pada 5 Disember ini, semua calon SPM bakal menduduki peperiksaan amali, sebelum ujian bertulis bermula 30 Januari depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM sudah membuat persiapan awal, termasuk kemungkinan pelajar perlu menduduki SPM di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jika sekolah atau kawasan kediaman mereka terbabit banjir.

“Bagi yang di asrama, ikut (prosedur) di asrama, dan jika di kediaman keluarga juga semua telah dipersiapkan termasuk pusat pemindahan, persiapan pusat peperiksaan juga telah kita siapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perasmian program pelancaran kesiapsiagaan menghadapi MTL peringkat KPM di Sekolah kebangsaan Taman Dato’ Harun (2) di Petaling Jaya, hari ini.

Fadhlina berkata, apa yang penting adalah kerjasama semua pihak termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jawatankuasa Bencana, Institut Perguruan (IPG), Sukarelawan Madani, pasukan khidmat kaunseling dan Yayasan Didik Negara.

Katanya, KPM dan semua agensi sudah menggerakkan jawatankuasa menghadapi MTL dan jawatankuasa ini adalah merentas kementerian dan agensi.

Pasukan Sukarelawan pula terdiri daripada guru dan seluruh warga KPM yang berdaftar sebagai ahli Persatuan Sukan dan Kebudayaan KPM (MESCA), Guru Insani Malaysia (GIM), pelajar Institut Pendidikan Guru dan pelajar Tingkatan 6 (Sukarelawan MADANI).

“KPM turut mengeluarkan surat peringatan menghadapi bencana banjir serta pasukan petugas menghadapi banjir peringkat kementerian,” katanya.

Fadhlina berkata, lebih 5,000 buah sekolah di seluruh negara dijadikan PPS dan antara tujuh atau lapan buah sekolah akan diwartakan sebagai pusat pemindahan kekal.

“Setiap sekolah yang berstatus PPS perlu diberi tumpuan untuk dinaik taraf menghadapi banjir. KPM sentiasa cakna menghadapi sebarang kemungkinan di setiap institusi pendidikan. Dan program hari ini merupakan kesiapsiagaan KPM menghadapi sebarang kemungkinan daripada MTL termasuk keselamatan dan trauma,” katanya.

Antara persiapan awal yang dilakukan ialah menyediakan peralatan kerusi meja yang diperbuat daripada plastik untuk sekolah-sekolah yang mungkin terbabit banjir.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini