KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi kerjasama penuh berhubung kes kematian seorang pelajar lelaki dibelasah rakan di sebuah kolej vokasional dekat Lahad Datu, Sabah.
Dalam satu kenyataan hari ini, KPM berkata, pihaknya telah bertindak dengan menyalurkan bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa.
Selain itu, KPM juga menawarkan sokongan psikososial keluarga mangsa, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej berkenaan.
“KPM menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azman, pelajar kolej vokasional di Sabah yang telah meninggal dunia.
“Pada masa sama, KPM menyeru semua pihak untuk menghormati privasi keluarga mangsa.
“KPM tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya,” katanya.
Semalam, Allahyarham Muhd Nazmie ditemui mati di bilik asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas pada jam 6.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis, Dr Rohan Shah Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan.
Mangsa adalah penghuni asrama kolej berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.
Tambahnya, pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh mangsa.
Pihaknya mengenal pasti punca kejadian ialah perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni asrama yang lain.
Setakat semalam, pihak polis menahan seramai 13 pelajar lelaki berusia 16 dan 19 tahun manakala satu rampasan alat pengecas telefon pintar yang dipercayai berkait dengan siasatan kes ini.
Polis juga sedang mengesan tujuh saksi bebas untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.