PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua institusi pendidikan di bawahnya menangguhkan aktiviti luar membabitkan murid, guru dan pensyarah susulan fenomena cuaca panas.
KPM memaklumkan, larangan itu termasuklah untuk aktiviti seperti merentas desa, kawad, sukan, permainan, perkhemahan serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar bilik darjah.
“Mengambil kira cuaca panas dan kering berpanjangan yang sedang melanda negara, institusi pendidikan di bawah KPM diminta menangguhkan semua aktiviti luar membabitkan murid, guru dan pensyarah,” kata kementerian itu menerusi perkongsian di Facebook.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memaklumkan KPM sudah mengeluarkan pekeliling berhubung larangan sebarang aktiviti luar bagi mengelak serangan strok haba.
Beliau dilapor berkata, pekeliling itu berkuat kuasa semalam dan mesti dipatuhi semua guru besar serta pengetua sekolah di seluruh negara.
Katanya, larangan itu turut meliputi garis panduan baharu ditetapkan KPM selepas memberi kelonggaran pemakaian pakaian sukan sebelum ini.
KPM sebelum ini memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan di bawahnya untuk memakai pakaian atau baju sukan yang sopan ketika cuaca panas, bagi mengelak sebarang komplikasi kepada kesihatan.
Malah, pemakaian tali leher juga tidak diwajibkan bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah.
Ahad lalu, KPM mengeluarkan garis panduan termasuk membenarkan sekolah ditutup sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran 2 dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Garis panduan itu dikeluarkan KPM melalui surat siaran pekeliling ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Norisah Suhaili, susulan situasi semasa cuaca panas di beberapa lokasi seluruh negara ketika ini.
Selain sekolah, surat siaran berkuat kuasa serta-merta itu terpakai untuk semua institusi pendidikan di bawah KPM sekiranya kawasan mereka diisytiharkan terkesan mengalami gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Bulan lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia di Kelantan akibat strok haba dan dehidrasi.
Muhamad Syamil Aqil, menghembuskan nafas terakhir di Klinik Kesihatan Balai dekat Bachok, jam 9.27 pagi.