Tumpuan :
Nasional

KPM ambil maklum cadangan kembalikan nama SJKC Tun Omar Ong Yoke Lin

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

BUTTERWORTH: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil maklum cadangan untuk mengembalikan semula nama asal Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tun Omar Ong Yoke Lin di Dengkil, Selangor yang ditukarkan ke SJKC Gamuda Cove.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM mendengar semua cadangan yang diterima, namun cadangan terbabit perlu melalui proses tertentu.

“Kita mempunyai proses yang perlu diikuti, dan setakat ini saya tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang sukar. Malah, kita sentiasa mendengar pandangan yang dikemukakan.

“Kami akan memberi perhatian terhadap cadangan ini… Ada pandangan yang disuarakan dan kami mendengarnya serta mengambil maklum,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Khazanah Reformasi Walk di Seberang Jaya hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur, berkata beliau akan membawa cadangan untuk mengembalikan nama SJKC Gamuda Cove kepada nama asal iaitu SJKC Tun Omar Ong Yoke Lin ke mesyuarat Kabinet.

Pengerusi BN itu menjelaskan, cadangan dikemukakan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong itu tidak berkaitan isu perkauman, sebaliknya bertujuan mengekalkan nama asal sekolah tersebut yang diluluskan pada 2017.

Dalam dalam ucapannya, Wee berkata, nama pengasas MCA iaitu Tun Omar diluluskan oleh bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 26 Oktober 2017, bagaimanapun nama itu digugurkan ketika majlis pecah tanah untuk pembinaan SJKC Gamuda Cove pada 4 Dis lalu.

Tun Omar Ong adalah pengasas MCA dan tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan, selain menteri dalam Kabinet Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. —BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini