Tumpuan :
Nasional

KPM aktifkan SOP Ops Payung untuk Ujian Amali Sains SPM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung bagi menghadapi Ujian Amali Sains Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung pada 9, 10 dan 12 Disember ini.

Melalui kenyataan hari ini, KPM memaklumkan langkah itu penting bagi memastikan ujian berkenaan dapat berjalan lancar dan tiada calon terjejas.

Ia susulan amaran Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) mengenai hujan berterusan yang dijangka berlaku sehingga 11 Disember di tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor yang berkemungkinan mengakibatkan gelombang kedua banjir.

KPM sebelum ini memaklumkan semua calon SPM yang terjejas akibat banjir berjaya menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang bermula 2 Disember lalu selepas operasi memindahkan mereka melalui Ops Payung selesai sepenuhnya.

Semua calon SPM terjejas pindahkan ke tempat selamat iaitu ke asrama menerusi bantuan pelbagai agensi, dengan diberi kemudahan terbaik termasuk buku, internet dan komputer.

Dalam pada itu, KPM memaklumkan pihaknya mengambil serius amaran METMalaysia itu, lantas mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi.

“Semua jawatankuasa diminta melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir berdasarkan surat pekeliling ikhtisas dan surat siaran yang sedang berkuat kuasa, selain Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan KPM merangkumi tindakan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas bencana banjir,” katanya.

METMalaysia hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada membabitkan tujuh negeri bermula esok sehingga 11 Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, Pahang dan Johor diramal antara tujuh negeri yang dijangka terjejas teruk melalui gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu bermula esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini